mutakhir

Harapan mahasiswa menjelang Bajet 2019

Oleh Zarul Fitri Muhd Zamrie dan Siti Nur Zawani Miscon

BAJET 2019 akan dibentangkan 2 November depan dan semua pihak pasti mengharapkan sesuatu yang positif kepada mereka terutama golongan mahasiswa.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Adib Ashman Burhan Hj Burhanudin, 22, berharap agar bantuan kerajaan kepada mahasiswa sebelum ini diteruskan.

"Pemberian baucer buku dan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) sangat membantu mahasiswa dalam menguruskan perbelanjaan di universiti.

"Kerajaan juga perlu memantau yuran pengajian universiti supaya tiada kenaikan yang membebankan penuntut," katanya ketika dihubungi wartawan NSTP.

Dalam pada itu, Adib juga berharap pihak kerajaan dapat memantau pembangunan universiti tempatan sekali gus dapat membantu dalam menjaga kedudukan institusi itu untuk berada dalam kelompok universiti terbaik.

Ia termasuklah melibatkan sendiri golongan mahasiswa sekiranya ada penggubalan dasar atau undang-undang yang membabitkan mahasiswa.

Sementara itu, YDP MPP Universiti Malaysia Pahang (UMP) Muhammad Amrun Aniq Mohamed Saidi, 22, berkata, bajet universiti tidak seharusnya dipotong.

"Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk tidak memotong peruntukan kewangan kepada universiti awam.

"Jika kerajaan tidak berhasrat untuk menaikkan jumlah peruntukan sekurang-kurangnya kerajaaan perlu mengekalkan nilai sedia ada untuk Bajet 2019.

Amrun juga berharap kerajaan dapat menaikkan nilai bantuan KADS1M kepada RM400 daripada RM250 yang diterima sebelum ini.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 6:59pm
d