mutakhir

Rampas kad mikroSD tiruan [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

BELI telefon pintar, dapat kad memori mikroSD percuma. Itu ditawarkan pemilik kedai menjual telefon bimbit kepada pelanggan mereka di Kompleks Bukit Jambul, dekat sini.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati kad memori mikroSD yang diberi secara percuma kepada pelanggan itu adalah barang tiruan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Sapiah Mohd Nor berkata, dalam operasi jam 12 tengah hari semalam, pihaknya merampas 1,744 kad memori mikroSD tiruan bernilai RM26,000.

Menurutnya, operasi dilakukan susulan aduan wakil syarikat dan pemantauan anggota KPDNHEP di premis di kompleks berkenaan.

“Ketika serbuan, seorang pekerja cuba menghalang dan menimbulkan kekecohan kira-kira 15 minit kerana tidak mahu membenarkan anggota kita membuat pemeriksaan.

“Bagaimanapun, keadaan tenang tidak lama kemudian dan hasil pemeriksaan kita menemui kad memori mikroSD terbabit dalam stor di belakang kedai itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Georgetown, hari ini.

Menurutnya, kad memori mikroSD palsu itu juga didapati dijual pada harga bermula RM15 hingga RM30 bergantung kepada kapasiti memori.

“Harga yang dijual itu jauh lebih murah daripada harga kad memori mikroSD tulen.

“Kita tidak menolak kemungkinan mereka ini adalah pemborong dan mengedar kad memori mikroSD itu kepada peniaga lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada pemilik kedai dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekalkan barang menggunakan perihal dagangan palsu.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 7:11pm
d