mutakhir

Suara sayup minta tolong...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“SAYA dengar suara sayup orang meminta tolong,” kata Laskar Kelas Satu (LKI) Jamalul Hayat A Baser, antara dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

yang menyelamatkan dua pemancing hampir lemas di di perairan Selat Dinding, berhampiran Jeti Dalam, Tambatan Pangkalan TLDM Lumut, Lumut, semalam.

Pada kejadian jam 8 malam itu, dua pemancing itu terjatuh ke laut selepas bot mereka naiki terbalik dipercayai akibat dipukul ombak.

Mangsa kemudian terpaksa berpaut pada bot berkenaan.

Jamalul Hayat, 26 berkata, selepas jeritan itu, dia nampak objek putih yang seolah-olah tangan melambai-lambai dari laut.

Dia yang bertugas di Kapal Diraja (KD) Kasturi berkata, menyedari perkara itu, dirinya terus ke KD Mahawangsa untuk membuat pemerhatian lanjut.

Menurutnya, apabila pasti objek itu manusia, dia terus memaklumkan kepada anggota lain sebelum membawa pelampung dan tali ke jeti dan terjun ke laut.

Katanya, seorang lagi anggota TLDM, Weltron Duanis dari KD Mahawangsa turut terjun dan berenang bersama membantu menyelamatkan mangsa.

"Saya terjun dulu sebelum Weltron dan dia juga bawa pelampung. Keadaan ketika itu gelap. Malah, arus juga agak kuat namun tiada hujan.

"Ketika itu, di fikiran saya hanya mahu menyelamatkan mangsa sahaja biarpun agak penat kerana berenang sejauh kira-kira 200 meter," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Jamalul Hayat berkata, mengikut cerita mangsa, bot yang mereka naiki sudah dipukul ombak di Lumut dan mereka terpaksa berpaut pada bot yang dihanyutkan sehingga berhampiran jeti Pangkalan TLDM itu.

“Kami bersyukur semua selamat dan penat terus hilang melihat mangsa selamat. Malah, mereka juga sempat mengucapkan terima kasih kepada kami.

“Ini pengalaman pertama saya membantu menyelamatkan mangsa di laut, sebelum ini pernah menyelamatkan dua mangsa hampir lemas di sungai di kampung," katanya yang sudah lima tahun berkhidmat dalam TLDM.

Menurutnya, dia juga gembira dan terharu dengan sijil penghargaan yang diberikan Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohamad Adib Abdul Samad.

Dia menganggap apa yang dilakukannya itu atas dasar tanggungjawab melihat mangsa yang memerlukan bantuan.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Izman Ibrahim, 35, dan Muhammad Zulhusni Mohamad, 25.

Difahamkan, dua lelaki terbabit dari Ayer Tawar dan Seri Manjung ke laut untuk aktiviti memancing dan jarak lokasi kejadian dengan KD Mahawangsa yang berada di jeti dalam Pangkalan TLDM, Lumut kira-kira 200 meter.

Berita berkaitan

Terima kasih TLDM

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 8:06pm
d