mutakhir

Rangka manusia di tingkat 19

Oleh Mohd Khidir Zakaria

RANGKA manusia ditemui di tingkat 19 sebuah bangunan terbengkalai di Batu 8, Teluk Kemang, Port Dickson, hari ini.

Pada kejadian jam 1 tengah hari itu, rangka itu ditemui oleh kontraktor yang menjalankan kerja pemeriksaan struktur bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, rangka manusia itu ditemui atas lantai dengan ditutupi selimut dengan menampakkan bahagian kepala sahaja.

“Pemeriksaan lanjut mendapati si mati berada di dalam ‘sleeping bag’ dengan memakai seluar jeans dan berbaju-T.

“Namun, tiada pengenalan diri ditemui,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurut Aidi Sham, polis juga tidak menemui sebarang kesan mencurigakan di lokasi penemuan rangka manusia itu.

Beliau berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga bulan.

“Bagaimanapun, bedah siasat akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian dan pengesahan identiti mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: October 26, 2018 @ 11:36pm
d