mutakhir

Ada van pun tak guna

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

BEBERAPA van khas disediakan di laluan tikus sebuah premis hiburan bagi memudahkan pelayan pelanggan (GRO) melarikan diri ketika serbuan dijalankan.

Difahamkan, penjaga premis akan meminta semua wanita warga asing itu melarikan diri ke pintu belakang dan terus menaiki van yang disediakan sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, taktik digunakan mereka itu gagal apabila 73 wanita dipercayai GRO ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dalam serbuan di premis hiburan di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota Unit Operasi Khas (QRT) Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa.

“Operasi bermula pada 12.30 tengah malam dan kami memeriksa 110 individu termasuk pekerja premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, JIM menahan 73 wanita dari pelbagai negara serta 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berkerja di premis terbabit,” katanya.

Mustafar berkata, selain itu empat penjaga premis warganegara tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan semua pekerja asing itu bertempiaran lari dan cuba meloloskan diri.

“Namun tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya menghalang mereka.

“Daripada jumlah ditahan itu, 68 wanita adalah warganegara Thailand dan lima lagi warganegara Laos.

“Semua individu ditahan itu dibawa ke JIM Putrajaya untuk proses dokumentasi,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2018 @ 12:39pm
d