mutakhir

Jom Heboh JB meriah

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KARNIVAL Jom Heboh (KJH) anjuran Media Prima Berhad (MPB) di Angsana Mall Johor Bahru, dilihat memberi impak dalam membawa hiburan hujung minggu kepada rakyat negeri itu.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata, program tahunan itu turut merangsang ekonomi penduduk bandar raya itu terutama aktiviti jualan di kawasan berkenaan.

“Karnival Jom Heboh yang berlangsung lebih 10 tahun ini, memberi impak kepada orang ramai dalam mendapatkan hiburan hujung minggu.

“Selain itu ia memberi peluang kepada peniaga menjual pelbagai barangan seperti makanan dan pakaian kepada pelanggan termasuk warga Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Karnival Jom Heboh anjuran MPB di Johor Bahru, hari ini.

Daerah itu adalah destinasi terakhir siri jelajah selepas Pulau Pinang dengan menampilkan pelbagai aktiviti di gerai utama seperti Banana!, Raudhah, Drama Sangat serta Gelanggang #KitaJuara.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak.

Osman berkata, program itu dapat merapatkan hubungan silaturahim bukan saja kepada peniaga yang mengambil bahagian tetapi penonton TV3 di negeri itu.

Sementara itu, Johan berkata, pihaknya menyasarkan 500,000 pengunjung membanjiri KJH sepanjang penganjuran yang bermula Jumaat lalu.

“Johor antara lokasi unik yang sentiasa mendapat jumlah pengunjung teramai setiap tahun penganjuran KJH.

“Kami membawa pelbagai jenama program popular kepada peminat setia TV3 termasuk program berbentuk Islamik Raudhah, Drama Sangat dan Banana!,” katanya.

Bagi KJH katanya, pihaknya sentiasa mengalu-alukan semua warga Johor, Melaka dan Singapura meluangkan masa dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

“Paling penting, pelbagai gerai menawarkan pakej barangan dengan harga tidak masuk akal,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2018 @ 7:20pm
d