mutakhir

Banjir kilat sekitar Stadium Shah Alam

Oleh Ruwaida Md Zain

HUJAN lebat selama lebih sejam sejak 3 petang, hari ini menyebabkan beberapa kawasan sekitar Stadium Shah Alam dinaiki air.

Keadaan itu menyebabkan berpuluh kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta berhampiran masjid berdekatan stadium itu dinaiki air kira-kira 30 sentimeter.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad ketika dihubungi berkata, hujan lebat kira-kira 3 petang tadi menyebabkan berlaku banjir kilat di beberapa kawasan tempat letak kereta Stadium Shah Alam.

"Namun pada ketika ini hujan sudah berhenti dan keadaan kembali pada sedia kala manakala banjir kilat juga sudah surut.

"Pasukan PANTAS MBSA juga bergegas ke lokasi berkenaan untuk memantau keadaan," katanya.

Sementara itu, tinjauan NSTP di kawasan berkenaan kira-kira 7 malam tadi mendapati air sudah surut dan aktiviti di sekitar kawasan berkenaan berjalan seperti biasa.

Peniaga yang ditemui menyatakan mereka turut terjejas dengan hujan lebat dan banjir kilat berkenaan kerana ia berlaku dengan pantas.

Roslan Ayed, 50, dan Rafi Gulamyasin, 43, yang datang dari

Pantai Dalam, berkata, ini kali pertama mereka berdepan dengan keadaan berkenaan sejak mula berniaga aksesori pasukan bertanding 35 tahun lalu di mana-mana stadium yang mengadakan perlawanan.

Roslan berkata, kebanyakan mafla, jersi, kain ikat kepala pasukan Terengganu dan Perak yang dijualnya habis basah ditimpa hujan dan terendam banjir kilat itu.

"Hujan lebat tidak sampai 20 minit air terus naik dan kami tidak sempat menyelamatkan barang-barang perniagaan serta khemah.

"Ia berikutan selian hujan lebat, angin kuat juga meniup khemah kami dan jika kami memilih untuk menyelamatkan barang-barang, khemah yang akan terbang.

"Nasib baik, ada penyokong dari Terengganu yang melalui kawasan ini untuk ke stadium membantu memegang tiang khemah supaya tidak ditiup angin," katanya.

Roslan berkata, ekoran kejadian itu, beliau berdua mengalami kerugian kira-kira RM2,000 kerana ramai peminat yang singgah tidak membeli barangan yang sudah basah.

Bagaimanapun, Roslan berkata, beliau akan terus berniaga sehingga tamat perlawanan malam ini.

Pada masa sama, katanya, ekoran kedudukan khemah mereka berdekatan dengan parit besar di situ, banyak sampah sarap yang dibawa banjir kilat, tertinggal berdekatan tempat mereka berniaga selepas air surut.

Disiarkan pada: October 27, 2018 @ 8:01pm
d