mutakhir

Sebulan siasat punca, sedia laporan

Oleh Nur Izzati Mohamad

TEMPOH sebulan diperuntukkan jawatankuasa khas bagi insiden runtuhan di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, untuk mengumpul maklumat, menyiasat punca kejadian.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, jawatankuasa itu yang turut dipengerusikannya, sedang menyediakan laporan lanjut, sebelum diserahkan kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) untuk tindakan susulan.

Beliau berkata, pembentukan jawatankuasa itu sangat penting bagi membantu EXCO membuat keputusan dan tindakan yang tepat.

“Buat masa ini, EXCO dengar macam-macam perkara hingga susah untuk menilai serta mengambil keputusan, maka jawatankuasa ini dibentuk bagi memudahkannya.

“Dalam jawatankuasa ini, kita akan melihat dari segi keterlaksanaan dan kepatuhan kontraktor terhadap projek, sama ada mengikut prosedur operasi standard (SOP) atau tidak,” katanya.

Beliau mengulas mengenai pembentukan jawatankuasa khas menyiasat kejadian tanah runtuh itu yang diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin ditemui selepas merasmikan Liga Memanah Tradisional Petal 3.0 Pulau Pinang di Surau Ar Rayyan, Bertam Perdana di Kepala Batas, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, jawatankuasa itu tidak mengkaji perkara dari segi teknikal, mahupun mengambil tindakan kepada pihak yang didapati bersalah.

“Ingin saya tegaskan bahawa jawatankuasa khas ini dibentuk untuk memaklumkan kepada EXCO mengenai punca kejadian runtuhan berlaku dan siapa yang sepatutnya perlu bertanggungjawab.

“Jadi bermakna, pihak jawatankuasa tidak mengkaji dari segi teknikal dan mengambil tindakan kepada pihak yang melakukan kesalahan sebaliknya itu adalah peranan EXCO,” katanya.

Rabu lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat punca kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa sembilan pekerja warga asing di Bukit Kukus.

Jawatankuasa khas itu turut dianggotai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari; wakil Institut Kejuruteraan Malaysia negeri dan seorang jurutera dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Projek lebuh raya bernilai RM545 juta itu berfungsi sebagai laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul dan dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun daripada jangkaan asal.

Disiarkan pada: October 27, 2018 @ 8:46pm
d