mutakhir

Penumpang miang dicekup

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS mengesahkan penahanan lelaki yang perbuatannya dirakam penumpang kerana melakukan gangguan seksual di dalam LRT, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek ditahan dua anggota polis bantuan yang terserempak dengannya ketika bertugas di Stesen LRT Universiti, 9.20 pagi hari ini.

Katanya, sebelum ditahan, dua anggota polis bantuan berkenaan terlebih dulu menghantar gambar suspek kepada mangsa bagi tujuan pengecaman.

"Mangsa kemudian mengesahkan bahawa lelaki itu adalah suspek sama yang melakukan perbuatan mengaibkan di hadapannya dalam kejadian dalam sebuah LRT pada jam 8.23 pagi, Selasa lalu.

"Susulan itu, suspek kemudian ditahan dua anggota polis bantuan berkenaan sebelum diserahkan ke Balai Polis Pantai untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zani berkata, polis kini sedang menyiasat kejadian berkenaan dan suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Selas lalu, seorang penumpang memuat naik video 17 saat di Twitter memaparkan perbuatan lelaki yang melakukan gangguan seksual di hadapan seorang wanita.

Video berkenaan dirakam seorang penumpang lain dipercayai menggunakan telefon pintar dan kemudian tular di media sosial selepas wanita berkenaan membuat laporan polis.

Ketika kejadian, suspek serta wanita itu dalam perjalanan dari Stesen LRT Kelana Jaya menghala ke Stesen LRT Universiti.

Disiarkan pada: October 27, 2018 @ 9:18pm
d