mutakhir

Pengangkutan awam antara fokus Bajet 2019

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

BEBERAPA ‘bayangan’ berhubung kandungan Bajet 2019 seakan ke arah kepada usaha memperkukuhkan jaringan pengangkutan awam dan langkah ‘memperkemaskan’ sistem penjawat awam.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua ketika mendedahkan perincian itu berkata, kerajaan ketika ini mempunyai pelan khusus berkaitan pengangkutan awam, termasuk merungkai rangkaian masalah yang dihadapi sektor berkenaan.

"Kita ada syarikat ‘besar’ dalam Prasarana yang kendalikan Aliran Transit Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan bas pengantara, namun mereka tidak uruskan operasinya dengan baik.

"Selain itu, mereka berdepan hutang RM28 bilion, malah perangkaan ini meningkat secara mendadak saban hari. Terima kasih kepada pentadbiran terdahulu.

"Bagaimanapun, sedikit ‘bayangan’ mengenai Bajet 2019, pengangkutan awam akan dijadikan antara fokus utama kerajaan," katanya disahut tepukan gemuruh hadirin Forum Ekonomi Belia (YEF) 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menyentuh perincian mengenai hal ehwal penjawat awam, Kiam Wee yang juga Ahli Parlimen Damansara menolak dakwaan segelintir pihak bahawa Bajet 2019 bakal menyaksikan tindakan drastik menerusi langkah ‘mengecilkan’ saiz kakitangan awam.

Beliau menyifatkan langkah sedemikian hanya mengundang tindak balas negatif dan sabotaj daripada penjawat awam, justeru penyelesaian terbaik ialah melakukan penjajaran atau mengemaskini sistem berkenaan.

"Peruntukan untuk penjawat awam, mencakupi emolumen dan pencen ialah antara kandungan yang memerlukan pembiayaan terbesar dalam bajet dibentangkan kerajaan saban tahun.

"Potong saja 20 peratus, sudah pasti kita akan menikmati penjimatan yang sangat banyak, namun kesan daripada langkah ini hanya mengundang kesan buruk apabila semua proses urus tadbir dan usaha kerajaan akan tergendala.

"Sebenarnya tidak perlu 20 peratus, sebaliknya cukup potong lima peratus daripada peruntukan sedia ada, kerajaan ketika ini tidak perlu lagi berada pada tampuk pemerintahan kerana akan disabotaj oleh penjawat awam," katanya.

Sehubungan itu, Tony berkata, pilihan alternatif ialah ‘bajet berteras sifar’ yang menyaksikan setiap kementerian mengekalkan permintaan peruntukan kewangan, termasuk aspek penambahan kakitangan di jabatan berkaitan.

Katanya, ia merangkumi langkah penstrukturan semula dengan menempatkan kakitangan yang mempunyai jumlah berlebihan di sesuatu bahagian untuk dipindahkan ke jabatan lain mengikut kesesuaian dan permintaan semasa.

"Proses ini memerlukan masa, namun ia langkah yang berupaya mengoptimumkan sumber tenaga manusia dan perlu dilaksanakan bermula dari sekarang," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, Barisan Nasional (BN) tidak akan membentangkan bajet alternatif pada tahun ini kerana beranggapan ia terlalu awal untuk berbuat demikian memandangkan usia pentadbiran kerajaan diterajui Pakatan Harapan masih ‘setahun jagung’.

Beliau sebaliknya berkata, BN akan membentangkan kerangka inisiatif ekonomi sama ada pada Rabu atau Khamis ini yang turut merangkumi cadangan pengukuhan dasar fiskal negara menerusi kutipan cukai baharu.

"Cukai baharu mestilah lebih progresif, justeru saya lebih cenderung kepada sistem yang memberi impak besar terhadap golongan berada, berpendapatan tinggi dan kekayaan besar, supaya kita dapat agihkan hasil kepada isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan M40," katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2018 @ 10:03pm
d