mutakhir

Sang Juara tiba tengah hari ini

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

IPOH: Wira pasukan bola sepak Perak yang berjaya menamatkan kemarau 18 tahun menjuarai Piala Malaysia malam tadi akan tiba di Stadium Perak di sini, tengah hari ini.

Semua pemain dan pengurusan dijangka tiba di stadium itu jam 1 tengah hari dan disambut oleh penyokong setia pasukan itu.

Kepulangan anak buah Mehmet Durakovic bersama pengurusan pasukan itu dengan membawa Piala Malaysia sudah pasti satu detik dinanti-nantikan penyokong yang ingin melihat sendiri piala kebanggaan itu secara dekat.

Malam tadi, skuad The Bos Gaurus berjaya menamatkan kemarau 18 tahun Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC menerusi penentuan penalti selepas terikat 3-3 dalam tempoh 120 minit.

Penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy muncul wira Perak apabila menyelamatkan dua sepakan penalti sekali gus membolehkan pasukan itu mengungguli penentuan penalti 4-1.

Kali terakhir Perak memenangi Piala Malaysia adalah pada 2000 menewaskan Negeri Sembilan 2-0 manakala kali terakhir mereka layak ke final pada 2007. Mereka dikecewakan Kedah 3-0 pada final 2007.

Final di Stadium Shah Alam malam tadi membolehkan Perak membalas dendam kekalahan 1-2 di tangan skuad Penyu pada perlawanan akhir 2001 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Ia kejuaraan kelapan Perak dalam sejarah Piala Malaysia.

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 10:14am
d