mutakhir

Bapa tiri paksa tidur bersama [METROTV]

Oleh Nik Sukry Ramli

SELEPAS pernah ditampar bapa tirinya yang berusia 50 tahun awal September tahun lalu, seorang remaja perempuan di Kuantan, kini trauma selepas mendakwa lelaki itu memaksanya tidur bersama, pada 19 Oktober lalu.

Remaja berusia 18 tahun itu mendakwa, bapa tirinya yang tidak lagi bekerja memberi alasan tindakan mengajaknya tidur bersama adalah bagi menghalang mangsa terus diganggu makhluk halus.

“Saya tidak boleh terima (alasan) dan tindakannya adalah tidak logik, saya kini dalam keadaan trauma... tidak sanggup lagi pulang ke rumah selepas kejadian itu.

“Semalam, saya ke pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang dan beliau meminta saya membuat laporan polis berhubung kejadian itu... (laporan polis) sudah buat petang semalam dan kini saya menumpang di rumah emak saudara,” katanya pada sidang media di pejabat ADUN Teruntum, dekat Kuantan, hari ini.

Ketika diminta menceritakan kejadian itu, mangsa berkata, bapa tirinya yang berkahwin dengan emaknya yang berusia 44 tahun sejak sembilan tahun lalu memaksanya tidur di tengah-tengah, antara mereka.

“Saya tidak tidur sepanjang malam kerana bimbang keselamatan diri,” katanya,

Katanya, tahun lalu bapa tirinya itu menamparnya kerana mendakwa dirinya berkawan dengan budak tidak senonoh dan kehidupannya sebagai remaja juga dikawal serta hanya boleh keluar ke tempat belajar sahaja.

“Saya terpaksa minta bantuan emak saudara mengambil saya di rumah pagi semalam sebelum ke sini (pejabat ADUN Teruntum) dan ke Balai Polis Kuantan. Saya tidak mahu balik dan kalau boleh hendak tinggal dengan nenek di Kuala Lumpur,” katanya yang kini belajar di sebuah kolej swasta di Kuantan.

Sementara itu, Chon Siang berkata, beliau mengambil masa kira-kira empat jam semalam untuk memujuk mangsa membuat laporan polis.

“Susah juga kes ini, saya terpaksa memujuk dia membuat laporan polis terlebih dulu sebelum tindakan lanjut boleh diambil terhadap bapa tirinya.

“Saya akan bawa kes ini untuk perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) esok dan meminta khidmat nasihat mereka bagi memastikan nasib mangsa terbela.

“Mangsa boleh dikatakan bernasib baik kerana belum berlaku apa-apa kejadian tidak diingini. Tetapi saya bimbang jika dibiarkan, kita tidak tahu apa lagi niat bapa tirinya,” katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 3:15pm
d