mutakhir

Sampai patah tulang hidung...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

GURU lelaki patah tulang hidung dan luka mata kiri selepas ditumbuk dalam kejadian di kebun sawit di Jalan Tengku Lela Segara, Kampung Raja, dekat Jertih, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku jam 11.45 pagi ketika mangsa berusia 55 tahun berada di kebunnya sebelum didatangi seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek yang menghampiri mangsa bertindak menumbuk mangsa sebelum kekecohan yang berlaku itu dihalang isteri mangsa yang berada di tempat kejadian.

Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri sebelum mangsa yang cedera pada bahagian muka dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati pagar jaringnya rosak.

“Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa ada meminta seorang lelaki menebang pokok di kebun sawit miliknya, namun pokok yang dipotong terkena pada pagar jaring suspek yang dipasang berhampiran kebun mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamri berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 3:50pm
d