mutakhir

Alat 'jammer' sabotaj pemilihan PKR Kuala Selangor? [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

CALON Ketua Cabang PKR Kuala Selangor, Juwairiya Zulkifli mendakwa pemilihan parti itu yang diadakan di Stadium Kuala Selangor, hari ini, disabotaj.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati berkata, petugas Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKL) menemui alat 'jammer' (alat penghadang talian) yang diletakkan di bahagian tempat duduk stadium itu.

"Petugas MDKL jumpa alat ini di bahagaian tempat duduk dalam stadium ketika sedang berkemas.

"Kemungkinan besar ada unsur sabotaj. Kita tidak boleh nak buktikan siapa namun kenapa alat ini ada dalam stadium?

"Adakah alat ini menjadi punca gangguan internet di pusat pemilihan?," katanya kepada NSTP di Kuala Selangor, hari ini.

Juwairiya berkata, beliau dimaklumkan hanya petugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang dibenarkan berada di dalam stadium.

"Saya sendiri sudah tanya kepada Yang Dipertua MDKS (Rahilah Rahmat) jika barangan itu milik MDKS, namun beliau menafikanya.

"Saya tidak mahu membuat sebarang tuduhan dan sedang menunggu siasatan lanjut berikutan penemuaan alatan itu," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, JPP sepatutnya menyediakan pasukan teknikal disetiap pusat pemilihan bagi

berdepan sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati alat penghadang talian yang ditemui ialah jenis 'Mobile Phone Jammer 6 Antennas'.

"Kita sedang menyiatat lanjutkejadian ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat," katanya.

Terdahulu, pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor yang sepatutnya berlangsung hari ini akan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang ditetapkan berikutan kegagalan sistem e-undi.

Ketua JPP, Azmira Ibrahim berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke peringkat pusat untuk dibincangkan sebelum tarikh baharu diputuskan.

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 9:22pm
d