mutakhir

'Perangkap' Anwar

Oleh Nadia Hamid

Kuala Lumpur: Dakwaan 40 Ahli Parlimen UMNO akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) satu isyarat ‘penamat kerjaya politik’ bakal Perdana Menteri kelapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangannya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menganggap provokasi itu ibarat mahu menyekat kemaraan Anwar.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, dakwaan Ahli Majlis Pimpinan BERSATU Datuk A Kadir Jasin itu menunjukkan Anwar sudah gagal dalam mengatur rentak kerjaya politik beliau selepas 20 tahun dipenjarakan dan diberikan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Mei lalu.

“Kenyataan terbaru sahabat saya, DAKJ (A Kadir Jasin) adalah bertujuan memberi isyarat kepada DSAI (Anwar) bahawa dengan ini, anggap lah GAME OVER for Anwar!!,” katanya pada kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong mendakwa BERSATU semakin gusar dengan pengaruh Anwar dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ia jelas menunjukkan ada persaingan dan perlumbaan membina pengaruh antara BERSATU dan PKR, termasuk parti lain dalam PH susulan kemunculan semula Anwar dalam arena politik.

“(Perkara ini) Menggambarkan ada perancangan pimpinan BERSATU mahu menyekat kemaraan Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

“Jadi Anwar harus berhati hati dalam perkara ini dan segeralah bertindak sebelum terlambat.

“Sudah tentu perancangan sebenar pucuk pimpinan tertinggi BERSATU untuk terus berkuasa walaupun terpaksa mengikut arahan DAP,” katanya.

Shamsul Anuar menyifatkan perang provokasi dan tidak masuk akal itu sebagai usaha terdesak pimpinan BERSATU untuk menutup kekurangan mereka yang hanya memiliki 14 kerusi di Dewan Rakyat.

Katanya, Kadir Jasin cuba menonjolkan usaha beliau, kononnya BERSATU sudah semakin kuat.

“Saya percaya kenyataan penyertaan itu tidak benar dan hanya andaian Kadir Jasin.

“Selain bertujuan memecahbelahkan UMNO, ia juga untuk mengulangi impian dan harapan sebenar Tun Dr Mahathir Mohamad (Presiden BERSATU),” katanya.

“Justeru saya berharap ahli UMNO tidak terpengaruh dengannya kerana saya yakin Ahli Parlimen UMNO tetap setia dengan parti,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 10:56am
d