mutakhir

Sepandai tahanan lolos, akhirnya ditangkap jua

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

TAHANAN yang meloloskan diri dari lokap Balai Polis Taiping kelmarin, berjaya ditahan semula oleh sepasukan anggota polis bahagian siasatan jenayah narkotik, awal pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, anggotanya yang menjalankan Ops Kesan di kawasan Jalan Medan Kamunting 2, Medan Kamunting, di Taiping, terserempak dengan lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan, pada 4.45 pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya segera mendekati suspek dan memperkenalkan diri untuk tujuan pemeriksaan.

“Sejurus anggota memperkenalkan diri, suspek tergamam dan bertindak agresif serta cuba melarikan diri.

“Ketika anggota melakukan tangkapan, berlaku pergelutan di antara suspek dan anggota namun, suspek berjaya diberkas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di Taiping, hari ini.

Mohamad berkata, siasatan mendapati suspek yang ditahan adalah tahanan yang lolos kelmarin.

Laporan sebelum ini menyebut, seorang tahanan yang mempunyai 11 rekod jenayah berkaitan dadah meloloskan diri dari lokap Balai Polis Taiping ketika seorang penghantar makanan keluar dari lokap itu.

Dalam kejadian kira-kira 7.33 malam itu, tahanan melarikan diri ketika pintu lokap terbuka sebelum memanjat pagar balai polis berkenaan dan terus menghilangkan diri.

Berita berkaitan

Mana kau mahu sembunyi?

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 11:23am
d