mutakhir

Sering putus belanja harian

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Seorang bekas anggota komando kini buntu untuk belanja harian keluarga dan persekolahan tiga anaknya kerana tidak mampu bekerja selepas menghidap gastrik serta kencing manis.

Bekas anggota tentera tidak berpencen itu, Muhamad Zahar Wahab, 55, berkata penyakit dihidapinya itu menyebabkan badannya menjadi kurus kering.

Dia turut kecewa apabila pengorbanannya sebelum ini seperti dipinggirkan apabila terpaksa hidup dalam kesusahan di rumahnya di Kampung Bukit Tok Harun, Pulai di sini.

Dia yang berkhidmat selama 16 tahun sebagai anggota komando tidak mampu melakukan kerja untuk menyara hidup dan mengharap belas ihsan daripada saudara serta rakan yang menjenguk untuk membantu.

Menurut Muhamad Zahar, kehidupannya tidak terurus lagi selepas kematian isteri, Rohani Ramli kira-kira enam tahun lalu.

“Sejak itu, saya menjadi ibu dan ayah untuk menyara tiga anak serta mengurus makan minum dan persekolahan mereka.

“Kini saya melakukan apa termampu termasuk memasak walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Saya hanya mahu memastikan anak-anak dapat meneruskan persekolahan demi masa depan,” katanya.

Muhamad Zahar berkata, dia hilang punca pendapatan kerana tidak mampu bekerja lagi dan sering memikirkan masa depan anak kerana semuanya masih belajar.

Katanya, anak pertama, Mohd Alif Hakim, 20, sedang belajar di Kuala Lumpur, Mohamad Azam Hafiz, 13, pula bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Abu Bakar dan anak ketiga pula, Nor Alifah Auni, 12, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai.

“Dengan tidak ada pendapatan, saya buntu memikirkan untuk menguruskan belanja dapur untuk makan setiap hari dan perbelanjaan persekolahan anak.

“Saya tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan selalu terputus perbelanjaan harian,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menamatkan perkhidmatan anggota tentera dan tidak berpencen selepas bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dalam Unit Komando.

“Saya menjadi ahli persatuan veteran tentera tetapi tidak apa-apa mereka bantu bagi meringankan beban.

“Nasib baik ada kawan-kawan seangkatan dulu datang menjenguk dan menghulur bantuan ala kadar selain memberi kata-kata semangat,” katanya.

Bagi yang bersimpati kepada bekas anggota tentera yang berjuang menjaga keselamatan negara masa lalu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Muhamad Zahar di nombor akaun, 0200541000027329.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 11:36am
d