mutakhir

'Itu bukan tandatangan saya'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

PEMANDU lori di Jempol membuat laporan polis selepas maklumat diri serta tandatangan dipalsukan oleh pihak lain pada borang menyertai parti politik.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, lelaki berusia 30-an dari Felda Lui Timur mendakwa pada Julai lalu dia menyerahkan salinan MyKad kepada seorang individu yang dikenalinya untuk mendaftar sebagai ahli Majlis Belia FELDA.

Katanya, pada Khamis lalu, pengadu didatangi individu sama yang bertanyakan sama ada dia mahu menyertai parti politik atau tidak.

“Pengadu menolak pelawaan itu sebaliknya hanya mahu menyertai persatuan belia yang ada di tanah rancangan itu.

“Pengadu kemudian ditunjukkan borang pendaftaran parti politik itu yang lengkap diisi berserta salinan Mykadnya,” katanya ketika dihubungi.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, pengadu mendapati tandatangan pada borang berkenaan bukan miliknya.

Katanya, pengadu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Lui pada 10.13 malam Sabtu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan individu terbabit.

“Polis sudah pun merakam keterangan pengadu dan individu yang dimaksudkan.

“Kes dirujuk ke mahkamah untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 12:04pm
d