mutakhir

Rayuan tertuduh sumbang mahram ditolak

Oleh Aizat Sharif

MAHKAMAH Rayuan Syariah Alor Setar, hari ini menolak rayuan bekas kakitangan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk meringankan hukuman penjara, denda dan sebat atas kesalahan sumbang mahram pada tahun lalu.

Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Syeikh Abdul Rahman menolak rayuan lelaki berusia 55 tahun itu selepas meneliti alasan yang diberikan seperti kesalahan pertama, masalah kesihatan, faktor tanggungan keluarga dan insaf adalah bersifat terlalu umum dan tidak diperincikan.

Tertuduh sebelum itu dijatuhi hukuman penjara satu bulan, denda RM5,000 dan enam sebatan pada 17 April tahun lalu, sebelum memfailkan rayuan pada 19 Februari tahun ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan sumbang mahram bersama anak saudaranya berusia 26 tahun di sebuah rumah di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar antara 24 Januari dan 22 Mac 2017.

Tertuduh juga didakwa sudah bernikah dengan anak saudaranya di Thailand.

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Syarie Farah Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Bahador Omar.

Sebelum itu, tertuduh yang berpakaian kemeja hitam serta seluar panjang dan bersongkok hadir ke mahkamah dengan ditemani ahli keluarganya.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 2:15pm
d