mutakhir

Sanjeevan, jangan sibuk kerja polis...

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PENGERUSI Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch) Datuk R Sri Sanjeevan diberi amaran agar tidak membuat tuduhan melulu berhubung dakwaannya terdapat pihak cuba ‘menutup’ kes cabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun oleh Ahli Parlimen, baru-baru ini.

Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, Sanjeevan tidak mengetahui prosedur sebenar yang dilakukan oleh pihak polis.

“Aduan (didakwa) itu sudah ditarik balik oleh pengadu pada hari yang sama dia membuat laporan kepada pihak polis, minggu lalu.

“Walaupun aduan sudah ditarik balik, namun pihak polis masih melakukan siasatan dan ada pihak yang dipanggil untuk diambil keterangan.

“Malah, pihak polis sedang mendapatkan nasihat daripada Timbalan Pendakwa Raya mengenai kes ini sama ada ia boleh diteruskan untuk pendakwaan atau tidak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Mushar berkata, beliau berharap Sanjeevan jangan campur tangan kerana dibimbangi dia boleh didakwa kerana mengganggu siasatan polis.

“Kita tidak melindungi sesiapa meskipun pesalah itu daripada golongan kelas atasan sekali pun.

“Seeloknya dia (Sanjeevan) tidak mencampuri urusan polis kerana dakwaan yang dilakukannya seolah-olah dia tidak mengetahui prosedur yang dijalankan pihak kami,” katanya.

Sebelum ini, Sanjeevan menerusi beberapa ‘thread’ (bebenang) di akaun Twitternya mendedahkan kejadian itu dipetik berkata, beliau berasa pelik mengapa Ahli Parlimen terbabit sehingga kini masih belum ditangkap sedangkan laporan polis sudah dibuat oleh mangsa.

“Kejadian kanak-kanak berusia 15 tahun adalah sangat serius dan saya harap @PDRMsia akan menjalankan satu siasatan yang telus dan teliti.

“Harap tidak ada cubaan untuk ‘cover up’ (melindungi) kerana ia membabitkan VVIP yang juga seorang bekas menteri,” katanya menerusi salah satu postingya di akaun Twitternya yang dimuat naik jam 11.50 malam semalam.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 2:39pm
d