mutakhir

Buruh Indonesia terlepas hukuman mati

Oleh Siraj Mohd Zaini

BURUH binaan warga Indonesia terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, melepas dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh rakan sekerjanya pada Mei tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zalita Zaidan membuat keputusan itu terhadap Suri, 41, selepas pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan kes prima facie.

Di dalam prosiding berkenaan, Zalita berkata, pihak pendakwaan gagal memanggil saksi penting bagi kes terbabit sekali gus menyebabkan prejudis kepada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh berasal dari Madura, Indonesia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh lelaki warga Bangladesh Mohamad Ali Ashraf, 28.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah tapak pembinaan di Kawasan Perindustrian Batu Caves, Gombak jam 11.45 pagi pada 11 Mei 2017.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan adalah hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Devinderjit Kaur Gill, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi.

Perbicaraan bermula pada 4 September lalu dan seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil bagi memberi keterangan.

Sementara itu, sejurus prosiding mahkamah selesai, Suri kemudian ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Mohd Irwan ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihak pendakwaan mempunyai tempoh 14 hari untuk merayu, dan jika tidak tertuduh akan dihantar pulang ke negara asalnya.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 2:43pm
d