mutakhir

Kan dah kena tarbiyah di kubur...

Oleh Nor Farhani Che Ad

DEMI mengelak daripada dicekup kerana melakukan maksiat, sepasang kekasih dekat Sungai Petani sanggup mengaku sudah bernikah di negara jiran.

Mereka membuat dakwaan itu selepas bilik dihuni mereka di sebuah rumah tumpangan di bandar itu, diserbu pasukan sukarelawan dikenali sebagai Skuad Badar.

Selain itu, pasangan itu juga disyaki terbabit dengan aktiviti penagihan dadah apabila peralatan menghisap dadah dan sepeket syabu ditemui di bilik itu.

Pengerusi Skuad Badar, Azhar Mohamad berkata, serbuan dilakukan 10 anggota selepas mendapat aduan orang awam.

Beliau berkata, selain pasangan itu, pihaknya turut menahan dua lagi pasangan di sebuah bilik lain rumah tumpangan sama.

“Selain itu, kita menemui kondom, alat berbentuk kemaluan lelaki, minyak pelincir dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati semua pasangan beragama Islam itu tidak mempunyai hubungan suami isteri yang sah.

Katanya, semua mereka yang berusia 20 hingga 36 tahun itu kemudian dibawa ke tanah perkuburan berdekatan untuk diberikan kaunseling.

“Selain itu, pasangan itu diberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan itu sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing,” katanya.

Azhar berkata, sejak pasukan berkenaan menjalankan aktiviti pencegahan maksiat di daerah Kuala Muda sejak tiga tahun yang lalu, kegiatan maksiat membabitkan penduduk tempatan semakin berkurangan.

“Kebanyakan yang kita tangkap adalah mereka yang datang dari luar daerah. “Tindakan ini bertujuan bagi membanteras maksiat dan menyelamatkan berlakunya kewujudan anak luar nikah hasil daripada zina,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 4:13pm
d