mutakhir

Mereka tak boleh lompat BERSATU - Mukhriz

Oleh Aizat Sharif

AHLI Parlimen UMNO dari Pekan, Bagan Datuk, Baling dan Padang Rengas adalah antara yang tidak akan dipertimbangkan sama sekali untuk dibenarkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu kini sudah pun mempunyai 14 wakil dalam Parlimen dan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pun menyatakan kesediaan menerima sesiapa sahaja dengan memenuhi beberapa syarat tertentu.

“Kita tidaklah terlalu terbuka sehingga individu seperti Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib Razak), Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) dan Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) nak masuk, itu tak bolehlah dan tak payahlah, kerana mereka ini dalam senarai yang tidak akan kami pertimbangkan.

“Jadi, bagi yang lain-lain jika berminat untuk menyertai kita adalah amat dialu-alukan dengan syarat mereka harus meninggalkan amalan yang tidak baik dan sihat ketika berada dalam UMNO dan mendukung budaya politik baru mengikut Pakatan Harapan (PH) terutama BERSATU,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Jersi kepada Pasukan Bola Sepak Wanita Kedah di Wisma Darul Aman, di Alor Setar hari ini.

Mukhriz berkata, bagi memastikan BERSATU terus berintegriti dan relevan dalam kalangan masyarakat, parti itu sendiri sering mengadakan saringan terlebih dahulu bagi memastikan individu yang menyertainya bebas dari sebarang amalan tidak baik yang dibawa dari parti lama mereka.

“Kita masih kekalkan keterbukaan untuk menerima ahli baru termasuk ahli parlimen dan juga ADUN namun ia masih bersyarat kerana kita juga pun akan meneliti terlebih dahulu individu yang bakal menyertai parti ini menerusi saringan yang dilakukan.

“Seperti juga bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed di mana kita melihatnya seorang teknokrat yang terkenal, berwibawa dan profesional di mana saya sendiri pernah berkhidmat sebagai timbalannya, saya tahu cara kerjanya dan tanpa berfikir panjang, kami menerima permohonannya untuk menerimanya sebagai ahli BERSATU sama seperti ahli yang lain,” katanya.

Dua hari lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin berkata, terdapat 40 Ahli Parlimen UMNO kini sedang membuat pertimbangan dengan teliti untuk menyertai BERSATU.

Terdahulu, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah menyerahkan set jersi kepada pasukan bola sepak wanita negeri yang bakal bersaing pada Piala Tun Sharifah Rodziah 2018 bulan depan di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) menyasarkan pasukan negeri itu menjadi juara kali ini selepas hanya muncul naib juara pada edisi tahun lalu selepas tewas kepada Sarawak pada perlawanan akhir.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 5:05pm
d