mutakhir

Setiausaha AMANAH Rasah maut kemalangan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SETIAUSAHA Parti Amanah Negara (AMANAH) kawasan Rasah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 288.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur Bandar Seri Putra, Kajang.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu, mangsa Abu Hanifah Mohd Kamal, 35, memandu Honda City gagal mengelak lori yang hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, kemalangan itu berpunca daripada lori yang terbabas selepas tayar hadapannya pecah.

"Lori yang tidak bermuatan itu dari arah Kuala Lumpur menuju ke Nilai dan berada di lorong kiri.

"Setibanya di kilometer 288.3 secara tiba-tiba tayar hadapan sebelah kanan lori berkenaan pecah menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Dzaffir berkata, lori berkenaan kemudian masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Honda City dan Perodua Myvi.

"Kedua-dua kereta itu adalah dari Nilai menuju ke Kuala-Lumpur.

"Akibat dari kemalangan berkenaan pemandu Honda City mengalami kecederaan parah dan tersepit di tempat duduk hadapan bahagian pemandu," katanya.

Katanya, mangsa dikeluarkan dari kenderaan berkenaan oleh anggota bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 5:32pm
d