mutakhir

Tuntutan harta sepencarian RM500j ditolak

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

MAHKAMAH Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan tuntutan harta sepencarian RM500 juta dikemukakan bekas menantu Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Shahnaz Abdul Majid terhadap bekas suaminya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib.

Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Mohamed Fouzi Mokhtar membuat keputusan menolak tuntutan kakak kepada penyanyi Datuk Sheila Majid itu selepas mendapati permohonan berkenaan tidak mengandungi beberapa butiran lengkap.

Mohamed Fauzi berkata, kes harta sepencarian itu sudah difailkan sejak tujuh tahun lalu tetapi sehingga hari ini permohonan yang dikemukakan tidak lengkap.

Katanya, sebarang dakwaan yang dikemukakan perlu lengkap, jelas dan terperinci.

Hakim bagaimanapun berkata, Shahnaz selaku pemohon boleh memfailkan permohonan baharu.

Sementara itu peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili Shahnaz ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memfailkan semula permohonan baharu.

Akberdin berkata, perbicaraan tuntutan harta sepencarian belum bermula dan Mahmud selaku defendanbelum memfailkan pernyataan pembelaan.

Seorang lagi peguam Shahnaz, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie menjelaskan, pihaknya tidak dapat mengemukakan butiran terperinci dalam tuntutan itu kerana butiran bukti akan dikemukakan ketika perbicaraan.

Pada 16 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur mengekalkan pembayaran mutaah RM30 juta yang diperintahkan terhadap Mahmud Abu Bekir kepada Shahnaz.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Mahmud Abu Bekir membuat bayaran mutaah itu secara tiga kali ansuran dengan bayaran pertama berjumlah RM10 juta perlu dibuat sebelum atau pada 31 Oktober ini.

Pasangan itu bernikah pada 9 Januari 1992 sebelum bercerai pada 11 Mei 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya Abdul Taib Mahmud, 23.

Bayaran mutaah itu difahamkan jumlah tertinggi yang pernah diberikan oleh Mahkamah Syariah di negara ini.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 7:49pm
d