mutakhir

Cawangan Khas PDRM kekal

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

KERAJAAN tidak bercadang membubarkan Cawangan Khas yang menjadi sebahagian daripada jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini tiada bukti kukuh kononnya Cawangan Khas atau jabatan lain dalam PDRM disalah guna untuk kepentingan mana-mana pihak.

“Jika ada bukti menunjukkan mana-mana pegawai atau anggota polis terbabit dalam salah guna kuasa untuk kepentingan tertentu, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Pang Hok Lion (PH-DAP Labis) yang mahukan penjelasan mengenai status Cawangan Khas PDRM di bawah kerajaan baharu.

Pang turut memohon penjelasan sama ada benar jabatan itu disalah guna kerajaan terdahulu untuk melindungi dan mengekalkan kuasa mereka.

Muhyiddin berkata, PDRM adalah agensi keselamatan yang menjalankan tugas dengan profesional dan mengikut bidang kuasa diperuntukkan mengikut undang-undang.

“Mengambil kira kepentingan pasukan keselamatan termasuk Cawangan Khas dalam memelihara keselamatan negara, tidak timbul isu Cawangan Khas perlu dibubarkan,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 9:15pm
d