mutakhir

Tabung Harapan ditutup 31 Disember

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

MESYUARAT Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk menutup Akaun Amanah Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) pada 31 Disember ini, selepas tujuh bulan ditubuhkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata sehubungan itu, Jabatan Audit Negara akan mengaudit Penyata Terimaan dan Bayaran Akaun Amanah Tabung Harapan bagi memastikan pengurusan tabung dibuat secara teratur dan berintegriti.

“Pelantikan firma audit luaran oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan mengaudit akaun Tabung Harapan dibuat selaras dengan Seksyen 7 Akta Audit 1957.

“Ini kerana Tabung Harapan membabitkan dana disumbang rakyat untuk membayar hutang negara yang mencecah RM1 trilion ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerajaan komited untuk terus telus dengan setiap sen diterima,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, jumlah terkumpul Tabung Harapan sehingga 3 petang semalam sebanyak RM196.3 juta yang merangkumi sumbangan diterima daripada orang ramai, organisasi atau badan serta faedah daripada pelaburan simpanan tetap yang ditadbir Jabatan Akauntan Negara.

“Kami merafak sembah dan setinggi-tinggi penghargaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di atas sumbangan baginda kepada Tabung Harapan,” katanya.

Menurutnya, walaupun jumlah disumbang rakyat Malaysia daripada hasil titik peluh mereka masih tidak boleh dibanding dengan hutang RM1 trilion yang diwarisi kerajaan Pakatan Harapan (PH) akibat skandal kewangan seperti 1MDB, Tabung Harapan akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara.

“Sejak penubuhannya, pelbagai peringkat masyarakat sudah memberikan sumbangan melalui pelbagai kaedah sebagai menzahirkan solidariti rakyat bersama kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara bertambah baik.

“Keikhlasan kerajaan untuk memastikan sumbangan Tabung Harapan adalah berdasarkan keprihatinan kepada situasi hutang negara dicerminkan dengan penolakan tawaran sebuah syarikat negara asing untuk menderma RM100 juta kerana disyaki ada niat tertentu di sebalik sumbangan itu,” katanya.

Tabung Harapan ditubuhkan kerajaan PH pada 30 Mei lalu untuk menerima dan memperakaunkan wang derma dan sumbangan daripada mana-mana orang perseorangan dan syarikat bagi membantu kerajaan menangani isu hutang negara.

Selaras dengan perkara itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei lalu bersetuju dengan penubuhan Tabung Harapan mengikut peruntukan subseksyen 9(1), Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61).

Guan Eng berkata, semua rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan derma boleh melakukannya sebelum 31 Disember ini.

Beliau berkata, kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada penderma Tabung Harapan yang mendokong pentadbiran kewangan bersih yang bebas daripada amalan rasuah.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 12:58am
d