mutakhir

Kan dah kena...

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

GELAGAT tiga remaja lelaki yang melakukan aksi mengangkat tayar depan motosikal ditunggangnya bagi mempersendakan anggota polis memakan diri apabila ditahan, malam kelmarin.

Dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur pada 11 malam di Dataran Merdeka itu, tiga ‘mat rempit’ itu gagal melarikan diri.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, tindakan remaja lelaki berusia 16 hingga 19 tahun itu seolah-olah mencabar pihak berkuasa.

“Selain itu, dalam operasi sama, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Tun HS Lee untuk proses dokumentasi,”katanya.

Zulkefly berkata, operasi berkenaan tamat pada 2.30 pagi pagi semalam.

Beliau berkata, tiga remaja lelaki berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala seorang lagi individu yang menggunakan nombor pendaftaran palsu disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya dan operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat berhubung kesalahan jalan raya boleh memaklumkan ke mana-mana balai polis terdekat,” katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 1:03am
d