mutakhir

Baju pengantin curi rupanya...

Oleh Hadzlihady Hassan

SELEPAS lebih tiga bulan meraih pendapatan dengan menyewa pakaian pengantin yang dicuri, empat suspek diberkas polis dalam tiga serbuan berasingan di Seberang Jaya, Bayan Baru dan Taman Merbau, dekat Kepala Batas, semalam.

Suspek masing-masing terdiri daripada sepasang suami isteri, seorang lelaki dan seorang wanita itu ditahan dalam Op Pintu yang dilakukan 12 tengah hari oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.

Semua mereka yang ditahan itu berusia 20 hingga 39 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pada 8 Julai lalu, pemilik butik pakaian pengantin membuat laporan mengatakan premisnya di Lorong Seri Merbau, Sungai Dua, di Kepala Batas dipecah masuk.

“Mangsa yang tiba di butiknya mendapati keadaan premis berselerak dan terdapat kesan umpil pada pintu kayu tingkat atas kedainya.

“Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM16, 000 selepas suspek melarikan pakaian pengantin miliknya,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini semalam.

Noorzainy berkata, susulan daripada laporan yang dibuat mangsa, polis berjaya menahan semua suspek di tiga lokasi berasingan dalam Op Pintu.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga pasangan suami isteri itu menyediakan khidmat sewa baju pengantin dan menjalankan perniagaan mereka di rumah.

“Dua lagi suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita pula bertindak sebagai orang tengah dengan menjual barang yang dicuri kepada suami isteri terbabit,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth untuk direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 11:32am
d