mutakhir

'Sila lapor jika ada bukti rasuah'

Oleh Fahmy Azril Rosli

TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak membuat sebarang perjanjian berunsur wang dengan pemimpin UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana mereka adalah 'penjenayah'.

Perdana Menteri berkata, beliau mengalu-alukan laporan kepada pihak berkuasa jika ada pihak mendakwa menjumpai bukti bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) merasuah pemimpin UMNO terbabit.

“Kita tidak buat perjanjian dengan ‘penjenayah’. Namun, jika anda menemui beberapa kes yang berkaitan rasuah, anda dialu-alukan untuk membuat laporan supaya tindakan boleh diambil.

“Bagaimanapun, setakat ini, kita tidak mengenakan syarat berupa wang untuk 'memancing' mereka (pemimpin UMNO) masuk BERSATU.

“Mereka cuma perlu meninggalkan UMNO dan jadi (Ahli Parlimen) bebas terlebih dahulu buat seketika waktu. Kemudian mohon untuk jadi ahli BERSATU,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuhan Ekonomi Mapan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sama ada terdapat perbincangan 'pintu belakang' membabitkan seramai 40 Ahli Parlimen UMNO dipercayai akan meninggalkan parti itu bagi menyertai BERSATU turut menerima ganjaran dalam bentuk wang.

Terdahulu, timbul spekulasi ramai Ahli Parlimen UMNO akan melompat masuk BERSATU apabila Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk A Kadir Jasin mendedahkan perkara itu.

Menurutnya, pihaknya tidak menafikan ada antara mereka mempunyai isu atau terdedah untuk disiasat.

Katanya, hasrat untuk menyertai BERSATU tidak seharusnya menjadi langkah untuk mereka menyelamatkan diri kerana semua pihak perlu mematuhi undang-undang.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 11:40am
d