mutakhir

'Kaki mabuk cari MP minta duit...'

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

MASALAH sosial yang berpunca daripada minuman keras termasuk samsu, nyata turut membebani golongan Ahli Parlimen.

M Karupaiya (PH-DAP Padang Serai) lantang meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) mengharamkan penjualan samsu (minuman keras yang murah) di seluruh negara.

"Bolehkah samsu atau alkohol dihapuskan terus di negara ini, terutama pada kaum India yang dilihat lebih banyak membawa masalah di semua kawasan.

"Kaki mabuk yang ramai minta duit daripada Ahli Parlimen. Orang minum samsu dengan banyak hingga sakit dan bila sakit, bawa pula ke hospital bagi ubat.

"Cukai yang dibayar kepada kerajaan diambil daripada peniaga samsu, lepas itu kerajaan bayar gaji kita balik... itu pun haram bagi kita," katanya sambil disambut tepukan meja tanda setuju oleh beberapa ahli Dewan.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, bagi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) di Dewan Rakyat, hari ini.

Chieng Jen kemudian menjawab perkara akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.

Terdahulu, Dewan Rakyat diberitahu, sebanyak 17 daripada 439 sampel pelbagai produk makanan dan minuman disyaki menggunakan bahan terlarang seperti steroid, sekali gus melanggar Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata 611 tindakan penguatkuasaan sudah diambil ke atas iklan produk makanan yang mempunyai akuan tidak dibenarkan.

"Kementerian Kesihatan terus meningkatkan pemantauan ke atas makanan tambahan termasuk produk minuman disyaki mengandungi steroid, sibutramin, sildenafik dah sebaginya di pasaran tempatan bagi memastikan ia selamat dimakan.

"Seksyen 13 Akta Makanan 1983 menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan, dianggap melakukan kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (BN-UMNO Maran) mengenai inisiatif dan tindakan agresif kementerian memantau penggunaan bahan terlarang dalam dalam produk mereka.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 7:01pm
d