mutakhir

Peniaga cedera ditetak penyamun

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PEMILIK kedai alat telekomunikasi dan muzik cedera ditetak dalam rompakan di Tampin Square, Tampin, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata lelaki berusia 55 tahun itu cedera di kepala serta badan dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJ).

Menurutnya, polis menerima maklumat kejadian daripada seorang lelaki yang menyaksikan kejadian itu pada 9.15 malam.

“Berdasarkan siasatan, dua lelaki bersenjata tajam dan memakai topeng meluru masuk ke premis itu lalu menghampiri mangsa dan isterinya yang berada di kaunter.

“Salah seorang suspek mengurung isteri mangsa di dalam tandas.

“Berlaku pergelutan dan mangsa ditetak suspek sehingga cedera di kepala, belakang badan dan siku,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Ramli berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan itu dan premis berhampiran mendapati suspek melarikan diri menggunakan Perodua Myvi berwarna emas.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke HTJ untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Katanya, polis kini giat mengesan suspek dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 9:22pm
d