mutakhir

Saman bekas guru tak masuk kelas 7 bulan

Oleh Wan Faizal Ismayatim

REMAJA perempuan yang juga bekas pelajar sekolah di Kota Belud, memfailkan saman terhadap bekas guru bahasa Inggeris sekolahnya atas dakwaan tidak masuk kelas selama tujuh bulan.

Nafirah Siman, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi memfailkan saman itu terhadap Jainal Jamran yang didakwa tidak masuk ke kelas dalam tempoh berkenaan pada 2015, ketika dia berada di tingkatan empat.

Saman itu difailkan menerusi tetuan Roxana & Co pada 16 Oktober lalu dan dia turut menamakan Pengetua, Suid Hanapi; pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Kementerian Pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.

Dalam samannya, Nafirah mendakwa Jainal tidak hadir mengajar dari Februari hingga Oktober 2015, kecuali pada satu minggu ketika pegawai dari Kementerian Pendidikan melawat sekolah terbabit.

Dia mendakwa, walaupun beberapa aduan dibuat, tiada tindakan diambil.

Nafirah turut mendakwa pengetua menutup kes itu dengan memalsukan kedatangan yang hanya menunjukkan Jainal tidak hadir hanya dua bulan.

Nafirah menuntut pengisytiharan bahawa semua defendan telah melanggar tugas statutori di bawah Akta Pendidikan dan mencabul hak perlembagaannya bagi mendapatkan pendidikan.

Dia menuntut pengisytiharan bahawa berlaku pelanggaran tugas dan ‘misfeasans’ di pejabat kerajaan sambil menuntut ganti rugi dan kos.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 19 November depan.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 9:38pm
d