mutakhir

'Anugerah terindah buat saya'

Oleh Nur Saliawati Salberi

“KEHADIRANNYA adalah anugerah terindah buat saya dan meskipun tidak seperti anak normal lain, dia adalah segalanya buat diri ini,” kata ibu tunggal, Zuriati Md Deris, 42.

Beliau berkata, penantian hampir 10 tahun untuk memiliki bayi perempuan akhirnya dimakbulkan, bagaimanapun dalam kegembiraan itu dia dikejutkan apabila Nur Ayuni Mahirah Mohd Muzaham yang kini berusia lima tahun membesar tidak seperti kanak-kanak normal lain disebabkan saiz kepalanya yang kecil.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, ketika kandungannya berusia tujuh bulan, doktor memaklumkan mengenai kesihatan bayinya selain bertanyakan sama ada dia mahu meneruskan kandungan atau sebaliknya.

“Walaupun terkejut dengan perkhabaran diterima itu, saya nekad mahu melahir dan membesarkan anak istimewa ini kerana dia adalah anugerah dan amanah daripada Allah SWT yang perlu saya jaga.

“Cabaran terbesar membesarkan anak istimewa ini adalah mulut segelintir masyarakat sekeliling, namun itu semua saya tidak ambil peduli,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Kerayong, Jasin, semalam.

Beliau berkata, akibat penyakit kejang otot dihidapi, anaknya itu tidak mampu untuk duduk atau dibiarkan tidur terbaring di tilam, sebaliknya perlu diriba sepanjang hari.

“Rutin hariannya (anak) setiap hari adalah duduk di atas riba saya. Walaupun pernah cuba diletakkan di atas tilam atau kerusi, tetapi dia akan menangis akibat tidak selesa.

“Jadi, hanya pada waktu tidur anak akan diletakkan di dalam buaian,” katanya.

Zuriati berkata, disebabkan keadaan itu dia kini tidak dapat bekerja kerana perlu menumpu sepenuh perhatian kepada anak bongsunya itu, selain bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Mujurlah dua lagi anak masing-masing bersekolah di Tingkatan Tiga dan Lima memahami kehidupan kami sekeluarga.

“Jika mereka meminta wang dan saya memberitahu tiada, mereka akan faham. Jika inginkan sesuatu seperti telefon bimbit pula mereka akan bekerja pada cuti sekolah untuk mengumpul wang sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 12:24am
d