mutakhir

Ke-34 terbaik

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Koperasi The New Straits Times Press (NSTP) (M) Berhad dipilih sebagai koperasi ke-34 terbaik daripada 14,000 jumlah keseluruhan koperasi seluruh negara, sekali gus mencatatkan pencapaian paling membanggakan sejak 51 tahun ditubuhkan.

Pengerusinya Mohd Fadzil Abdul Ghani berkata, pengiktirafan itu diberikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berdasarkan kecemerlangan dalam urus tadbir, pengurusan kewangan yang baik dan kepelbagaian perniagaan diceburi.

Menurutnya, perkara itu diumumkan pada Majlis Profil 100 Koperasi Terbaik anjuran SKM, kelmarin.

Beliau berkata, pengiktirafan itu penting bagi membuktikan Koperasi NSTP (M) Berhad berada pada landasan yang betul dalam meningkatkan pendapatan menerusi urus tadbir yang cekap dan sistematik.

“Setakat ini kami mempunyai kira-kira 2,600 ahli yang terdiri daripada kakitangan dan bekas kakitangan Media Prima termasuk ahli keluarga mereka.

“Sebelum ini kami menyasarkan dalam tempoh tiga tahun diiktiraf sebagai 100 koperasi terbaik seluruh negara, namun kali ini berjaya merealisasikan matlamat itu malah lebih baik daripada penanda aras yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Fadzil berkata, 12 ahli lembaga pengarah bersama 18 kakitangan koperasi sentiasa berusaha memajukan koperasi dengan mewujudkan pelbagai bidang perniagaan khusus bagi meningkatkan lagi sumber pendapatan koperasi.

“Kita menjalankan pelbagai perniagaan antaranya pinjaman peribadi, pajak gadai, agensi pelancongan dan pengurusan acara.

“Matlamat selepas ini adalah memastikan Koperasi NSTP (M) Berhad terus kekal sebagai antara 100 koperasi terbaik seluruh negara dan mempelbagaikan lagi bidang perniagaan pada masa akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 10:12am
d