mutakhir

Perlu perkenan sultan

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, undang-undang syariah di setiap negeri di Malaysia adalah berdasarkan persetujuan sultan atau raja dan sekiranya pemerintah negeri itu bersetuju ia boleh diselaraskan.

Harussani berkata, sekiranya Kerajaan Persekutuan merasakan perkara itu boleh diselaraskan dan mendapat persetujuan sultan atau raja di setiap negeri, ia tidak menjadi salah dan penyelarasan itu perlu mengikut undang-undang syariah sebenar.

“Tak apalah, kalau (kerajaan) rasa boleh diselaraskan, bolehlah diselaraskan.

“Namun, undang-undang syariah di setiap negeri ini adalah hak sultan atau raja, kalau bersetuju bolehlah diselaraskan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Harussani berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengenai usaha kerajaan untuk menyeragam dan menyelaraskan undang-undang syariah di seluruh negara.

Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Mujahid dilaporkan berkata, antara usaha yang sedang dilakukan adalah mengkaji keperluan meminda beberapa undang-undang syariah negeri bagi memastikan ia masih relevan dengan suasana semasa tanpa mengetepikan hukum syarak dan prinsip keadilan.

Selain itu, katanya, kajian berkenaan pindaan dan penyeragaman undang-undang berkaitan kesalahan jenayah Syariah turut dilakukan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kajian hukuman syariah bagi memastikan ia lebih bersifat memulih seperti perintah khidmat masyarakat, Harussani berkata, undang-undang yang sudah ada sekarang sudah cukup untuk memberikan pengajaran kepada pesalah.

“Undang-undang syariah sekarang sudah cukup memberikan pengajaran, dan pengajaran diberikan sudah pastinya menjadikan pesalah akan pulih daripada kesalahan dilakukannya,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 11:19am
d