mutakhir

Bubu naga bikin susah

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

Ipoh: Penggunaan bubu naga yang diharamkan bagi menangkap hasil laut semakin berleluasa, khususnya kawasan perairan utara pantai barat Semenanjung termasuk Perak.

Kesan penggunaan bubu yang mempunyai banyak injap dan bermata kecil itu bukan saja boleh memusnahkan ekosistem dan sumber hasil laut dalam jangka masa panjang, malah menjejaskan pendapatan nelayan, terutama nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut.

Lebih membimbangkan penggunaan bubu itu turut menarik perhatian ‘nelayan segera’ iaitu golongan bukan nelayan untuk turun ke laut memasang peralatan itu bagi menambah pendapatan walaupun peralatan itu menyalahi undang-undang, menyebabkan kehidupan nelayan pukat hanyut semakin terhimpit.

Nelayan mendakwa sukar menurunkan pukat hanyut dan pukat rosak jika tersangkut pada bubu itu serta terpaksa mengeluarkan wang untuk membaiki pukat atau membeli pukat baharu, sedangkan hasil tangkapan tidak seberapa.

Keadaan itu sering menimbulkan konflik, malah mencetuskan pergaduhan antara kumpulan yang memasang bubu naga dengan nelayan yang menggunakan pukat biasa sehingga ada kes dilaporkan kepada polis.

Definisi bubu yang dilesenkan mengikut Seksyen 10(2), Syarat Syarat Dalam Lesen dan Arahan-Arahan dalam Akta Perikanan 1985, tidak boleh mempunyai lebih daripada dua injap, namun bubu naga mempunyai hingga puluhan injap kerana ia dipasang berangkai.

Pemasangan bubu yang asalnya hanya digunakan di Thailand dan mendapat nama ‘naga’ kerana bentuknya yang disambung-sambung hingga panjang, semakin berleluasa khususnya di perairan utara Semenanjung termasuk negeri Perak.

Di kawasan utara pantai barat Semenanjung, kes penggunaan bubu naga termasuk oleh ‘nelayan segera’ banyak dikesan di perairan Perak dan Pulau Pinang.

Di Perak, berdasarkan tinjauan dan maklumat diperoleh, bubu naga pada mulanya digunakan nelayan di kawasan Pantai Remis di daerah Manjung, namun merebak ke kawasan lain termasuk sepanjang perairan di daerah Larut Matang serta daerah Kerian yang kini semakin meningkatkan penggunaannya hingga ke sempadan Pulau Pinang.

Berdasarkan maklumat Jabatan Perikanan Perak, taburan operasi bubu naga di daerah Manjung bermula dari pesisiran Pantai Remis ke Pulau Talang dan pesisiran pantai atau teluk Sungai Batu hingga sempadan Segari serta sedikit di kawasan perairan Lekir.

Daerah Larut Matang pula membabitkan kawasan muara Kuala Trong sehingga ke kawasan tujuh batu nautika keluar di kawasan laut, daerah Kerian kawasan operasi sepanjang pesisir Sungai Kurau dan persisir pantai Kuala Kurau dan Bagan Tiang, manakala daerah Bagan Datuk bermula dari kawasan perairan Bagan Datuk sehingga ke Bagan Lipas, Hutan Melintang.

Tinjauan NSTP bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kawasan perairan daerah Kerian serta daerah Larut Matang yang semakin meningkat penggunaan bubu naga, mendapati penggunaan peralatan itu tertumpu di kawasan beting dan perairan cetek.

Malah, ketika tinjauan di kawasan perairan Kuala Gula di Kerian dan Pulau Pasir Hitam di Larut Matang, beberapa bot dipercayai sedang mengutip hasil dari bubu naga yang ditahan, bertindak melarikan diri ke kawasan perairan cetek yang tidak mampu dilalui bot peronda Maritim Malaysia.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 11:36am
d