mutakhir

Pembantu kedai ke tali gantung [METROTV]

Oleh Fitri Nizam

PEMBANTU kedai perabot dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini kerana mengedar 176.85 gram dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu terhadap Syed Muhammad Shahril Hazwan Syed Abdullah, 25, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Beliau pada penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat hujah pembelaan bersifat penafian semata-mata.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis syabu itu di sebuah rumah dekat Jalan Simpang Tok Ku, Kampung Simpang Tok Ku, Kuala Terengganu, pada 28 September 2015.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam, Nordin Kassim.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 3:35pm
d