mutakhir

Ambil komisen, projek batal - Anwar

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

“KALAU Kalau saya dengar ada komisen, saya akan batalkan projek. Jangan cuba ambil duit orang,” tegas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata akan berusaha untuk memastikan projek yang dikesan mempunyai unsur rasuah atau penyelewengan di daerah Port Dickson, dibatalkan segera.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, mahu memastikan semua projek pembangunan di kawasan Parlimennya dijalankan mengikut peraturan sewajarnya dan telus.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang bersama Veteran Tentera di Dewan Bagan Pinang, hari ini.

Anwar turut menetapkan tiga syarat kepada pengusaha projek pembinaan hotel di daerah ini iaitu memastikan kebersihan pantai, membina rumah pekerja dan memberi peluang pekerjaan serta latihan kepada penduduk tempatan.

Katanya, syarat itu dapat memastikan pantai di kawasan hotel sentiasa bersih, manakala penduduk tempatan mendapat pekerjaan berhampiran rumah mereka.

Mengenai majlis bersama veteran tentera itu, Anwar yang menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober lalu, berkata kehadirannya adalah tanda penghargaan kepada golongan itu yang menyokongnya.

“Kebajikan veteran tentera sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan kami tidak akan sesekali meminggirkannya.

“Malah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga akan mengaktifkan semula Majlis Veteran Malaysia dalam memastikan kebajikan ahli terus diberi perhatian,” katanya.

Sementara itu, Anwar memaklumkan sudah melawat Menteri Besar, Aminuddin Harun bersama isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kini dirawat di Hospital Serdang, Selangor.

“Beliau (Aminuddin) pergi ke hospital untuk periksa buah pinggang tapi rupanya saluran jantung yang tersumbat, sebab itu kena terus bedah.

“Saya lawat beliau sehari selepas pembedahan dan alhamdulillah saya lihat sudah beransur sihat,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2018 @ 9:19pm
d