mutakhir

Ibu kecewa ugut tikam diri

Oleh Junaidi Ladjana

SEORANG ibu cuba menikam perutnya dengan pisau selepas kecewa anaknya terbabit dalam penagihan dadah dan ditahan dalam Op Cegah di Beaufort, awal pagi semalam.

Op Cegah selama 5 jam bermula 12 tengah malam itu turut menahan sembilan lagi lelaki disyaki penagih dadah berusia 20 hingga 42 tahun.

Ketua Operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah, Erwan Roslan berkata, enam anggota melakukan operasi di sebuah rumah dan menahan seorang lelaki berusia 30-an, selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, suspek terjaga dari tidur apabila menyedari kehadiran anggota AADK dan ketika suspek dibawa keluar rumah, tiba-tiba ibunya berusia 60-an mengancam untuk membunuh diri sambil berlari ke dapur rumahnya.

“Ibu suspek kemudian memegang sebilah pisau dan cuba menikam perutnya namun dihalang oleh suspek lalu meminta ibunya bertenang.

“Pada masa sama, pegawai dan anggota AADK campur tangan dengan merampas pisau dan menenangkan ibu suspek hingga keadaan terkawal.

“Ibu suspek bertindak demikian selepas kecewa anaknya itu terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan mengatakan rela mati kerana kecewa,” katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 20-an itu antara 10 penagih dadah yang ditahan dalam Op Cegah di tiga kampung di Beaufort dan Papar.

Katanya, hasil ujian air kencing semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu dan didapati dua daripada suspek masih dalam tempoh pengawasan AADK.

“Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 1:09am
d