mutakhir

Nahas keluar simpang

Oleh Siti Rohana Idris

PENIAGA tercampak di atas jalan raya selepas motosikalnya merempuh motosikal lain yang keluar simpang secara mengejut.

Dalam kejadian di Simpang Tali Air Jambatan Kg Beta Hilir, Kota Bharu, Wan Mohd Amri Wan Salleh, 34, maut akibat parah di kepala.

Kejadian pada 7 petang itu, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Jalan Pintu Geng menghala ke simpang Kampung Kor, Dewan Beta.

Ketua Polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebaik mangsa tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang seorang remaja berusia 18 tahun keluar simpang secara mengejut.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal remaja berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jambatan dan parah di bahagian kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat, manakala remaja terbabit pula patah kaki kanan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 11:01am
d