mutakhir

'Stor' simpanan ketum diserbu

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

BURUH lelaki yang leka membungkus 700 kilogram ketum bernilai RM21,000 ke dalam guni untuk diseludup ke negara jiran apabila sebuah rumah di Kampung Kolam, Padang Besar diserbu polis, semalam.

Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, dalam serbuan jam 10 pagi atas maklumat awam, suspek berusia 33 tahun tidak sempat melarikan diri.

“Suspek mengaku dia menjaga daun-daun ketum itu sebelum diseludup ke Thailand, manakala rumah itu digunakan sebagai stor simpanan sebelum dibawa keluar dari negara ini.

“Bagaimanapun, polis masih menyiasat sama ada suspek adalah pemilik daun ketum berkenaan atau dia hanya menerima upah daripada pihak lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Mushar berkata, pihaknya percaya lelaki terbabit mempunyai hubungan dengan seorang penyeludup dikehendaki di daerah Padang Besar.

“Nilai rampasan berjumlah RM21,000 dan suspek direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 12:13pm
d