mutakhir

Menggigil terima panggilan....

Oleh Mary Victoria Dass

“SAYA menggigil apabila menerima panggilan daripada sepupu dan dia memberitahu ibu saudara dan rakannya mati dibunuh," kata seorang lelaki dikenali sebagai Subra, 35.

Pada kejadian 9 pagi ini, ibu saudara Subra, K Kamala, 51 dan S Silvaraja, 59, mati dengan kesan tetakan dan kelar di tingkat tiga Blok 11, Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Johor Bahru.

Mangsa ditemui oleh anak perempuan Kamala yang baru pulang dari tempat kerjanya di Singapura.

Subra berkata, keluarganya tidak menjangka terpaksa berkabung ketika perayaan Deepavali bakal disambut dalam lima hari lagi.

Sedangkan katanya, dia sudah bercadang untuk bersama-sama meraikan perayaan itu dengan keluarga Kamala di kediamannya di Taman Skudai Baru, Johor Bahru.

“Saya difahamkan, ibu saudara Kamala, juga sudah melakukan beberapa persiapan untuk menyambut Deepavali,” katanya.

Lelaki itu berkata, dia tidak membayangkan perasaan sepupu melihat mangsa dalam keadaan menyayat hati.

Dia juga bersimpati memikirkan nasib malang sepupunya berusia 31 tahun apabila kehilangan ibu tersayang.

“Beberapa tahun lalu dia kehilangan bapa dan seorang adik lelaki... kini ibunya pula sudah tiada.

“Dia masih dalam keliru akibat kejadian ini,” katanya.

Subra berkata, dia masih belum ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana perlu membantu siasatan polis.

Berita berkaitan

Ibu tunggal, lelaki mati ditetak [METROTV]

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 5:00pm
d