mutakhir

Girl power!

Oleh Poliana Ronnie Sidom

DUA anggota wanita Pasukan Gerakan Am (PGA) memecah tradisi apabila menyertai Pertandingan Mara Lasak Piala Komander Briged Sabah yang sebelum ini hanya disertai anggota lelaki.

Kedua-dua mereka, Lans Koperal Nornitha Lyessa Anak Juwil, 27, dan Konstabel Nurmadiah Buang, 24, kedua-duanya berasal dari Sarawak yang bertugas di Ibu Pejabat Briged Sabah, antara 198 anggota yang menyertai cabaran membabitkan 20 kilometer (km) di Sungai Batang, di Sandakan, hari ini.

Nornitha berkata, mereka mengikuti cabaran itu kerana mahu membuktikan anggota wanita juga mampu menyertai pertandingan dalam acara tahunan terbabit yang didominasi anggota lelaki.

Katanya, biarpun cuma mendapat saguhati dalam pertandingan yang disertai enam pasukan dari seluruh Sabah, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk menyertai pertandingan pada masa akan datang.

“Dalam pertandingan ini, kami melalui pelbagai cabaran untuk menguji ketahanan fizikal termasuk menaiki bukit, melalui kawasan berlumpur dan berbatu dengan membawa senjata dan beban seberat lapan kilogram, tapi kami dapat melepasinya kerana kerjasama dalam pasukan.

“Kami ambil masa tidak sampai sebulan untuk berlatih dengan berlari di pantai dan bukit,” katanya ketika ditemui dalam acara penutupan yang dirasmikan Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Ratan Kumar Singh yang mewakili Komander Briged Sabah, Datuk Zanudian Samsu.

Enam pasukan yang menyertai acara itu membabitkan Batalion 14 PGA Tawau, Batalion 15 PGA Sandakan, Batalion 16 PGA Kinarut, Batalion 17 PGA Lahad Datu, Batalion 20 PGA Beluran dan Briged Sabah dengan Sandakan muncul juara dengan tempoh masa 2 jam 59 minit disusuli Beluran dan Lahad Datu.

Sementara itu, Zanudian dalam teks yang dibacakan Ratan meminta anggota dan pegawai agar sentiasa menjauhkan diri daripada najis dadah dan amalan rasuah.

Katanya, aktiviti penyalahgunaan dadah bukan saja merosakkan diri dan keluarga, malahan menyebabkan kehilangan kerja dan pelbagai masalah lain.

“Amalan mengambil rasuah juga mampu menjejaskan kualiti perkhidmatan dan menimbulkan persepsi negatif netizen terhadap pasukan polis,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 5:15pm
d