mutakhir

Pipi bayi lebam, luka tepi mulut

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MUKA lebam dan luka pada bahagian tepi mulut. Itu nasib bayi lelaki berusia dua bulan yang dipercayai dipukul dan dicubit pengasuh yang baru menjaganya dalam tempoh dua hari.

Menurut ibu saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Isha, 23, bayi berkenaan dihantar ibunya ke rumah pengasuh berusia 20-an itu yang dikenali melalui Facebook sejak 22 Oktober lalu.

Katanya, bayi berkenaan dihantar ke rumah pengasuh itu di Taman Equine, Serdang, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka pada 7 pagi hingga 7 malam dengan bayaran lebih RM300 sebulan.

“Pada hari kedua (23 Oktober lalu), saya memaklumkan kepada kakak untuk mengambil anak saudara lebih awal. Namun dia memberitahu pengasuh minta masa untuk siapkan anak saudara sebelum saya menjemputnya di rumah pengasuh terbabit pada 4 petang.

“Sebaik sampai, saya lihat anak saudara sudah diletakkan dalam ‘car seat’ dengan mukanya dipenuhi bedak dan kelihatan lemah. Pengasuh itu memberitahu anak saudara mengantuk menyebabkan dia kelihatan lemah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Isha berkata, sebaik tiba di rumah mereka, ibu bayi itu menyedari terdapat beberapa lebam pada pipi serta luka di tepi mulut anaknya.

“Saya dan kakak (ibu bayi) perasan terdapat pita pelekat berwarna hitam pada puting bayi berkenaan. Apabila perkara itu ditanyakan kepada pengasuh terbabit, dia kata puting itu rosak dan menyebabkan mulut kanak-kanak berkenaan luka.

“Malah, dia menafikan terdapat lebam sepanjang menjaga anak saudara. Kami (bersama kakak) kemudian membawa anak saudara ke Hospital Putrajaya sebelum doktor mengesahkan lebam itu dipercayai kesan pukul dan cubitan kuat,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan pihak hospital terbabit, kakaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berhubung kejadian itu pada 24 Oktober lalu.

“Kakak memaklumkan kepada saya bahawa pengasuh terbabit tidak dapat dihubungi sehingga kini. Malah, pihak polis memaklumkan dia tiada ketika mereka pergi ke wanita berkenaan.

“Ketika ini, keadaan anak saudara semakin baik. Cuma buat masa ini, kakak terpaksa bercuti untuk menjaga anaknya sementara mencari pengasuh baru,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 7:42pm
d