mutakhir

SPAN dapat pengerusi baru

Oleh Nor Akmar Samudin

AHLI Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang baharu, berkuat kuasa 1 November lalu.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, hari ini.

Charles menggantikan Datuk Liang Teck Meng yang meletakkan jawatannya pada 27 April lalu.

“Pelantikan Charles sebagai Pengerusi SPAN baharu diharap dapat menyuntik iltizam bagi melaksanakan tanggungjawab dan objektifnya dalam merealisasikan polisi industri perkhidmatan air negara,” menurut kenyataan SPAN.

“Ini termasuk untuk memandu SPAN memastikan sistem kawal selia yang dinamik dan progresif bagi menggalakkan pembangunan dan mengurus impak industri perkhidmatan air terhadap masyarakat dan persekitarannya,” katanya.

Menurutnya, SPAN mengucapkan terima kasih Liang atas perkhidmatan beliau.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai pengerusi SPAN, beliau banyak menyumbang bakti dengan pengalaman dan idea bernas yang sangat berguna ke arah mencapai aspirasi, visi dan misi SPAN,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 9:59pm
d