mutakhir

'Bila wad ini boleh diguna semula?'

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mahu kerajaan membaiki segera Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang terjejas dalam kebakaran dua tahun lalu.

Dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebook rasminya, Tunku Ismail berkata, lawatan itu dilakukan bagi meninjau kerja baik pulih kawasan berkenaan dan melihat sama ada semua peralatan serta isu keselamatan sudah diuruskan oleh pihak yang bertanggungjawab atau tidak.

“Malangnya, kawasan ini masih terbiar sejak insiden yang meragut nyawa enam pesakit dua tahun lalu walaupun hospital ini mengalami masalah kesesakan pesakit.

“Jumlah kos untuk membaikpulih hospital berkenaan adalah RM5.2 juta. Saya yakin pihak bertanggungjawab mempunyai dana cukup untuk membaikpulih hospital itu.

“Bilakah wad ini boleh digunakan semula? Saya berharap kerajaan dapat memastikan ia dibaiki dan beroperasi sepenuhnya supaya rakyat dapat memanfaatkan kemudahan itu,” katanya.

Terdahulu, Tunku Ismail berkenan meluangkan masa hampir setengah jam melawat tingkat dua ICU HSA, Johor Bahru, hari ini.

Ketibaan Tunku Ismail yang turut ditemani pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Izham Tarmizi disambut Pengarah HSA, Dr Aman Rabu.

Sebelum berangkat pulang, Tunku Ismail sempat melawat taman permainan kanak-kanak yang terletak tidak jauh dari lobi utama HSA sebelum menyampaikan sumbangan bagi menambah baik kawasan permainan berkenaan.

“Saya juga melihat kawasan persekitaran dan keadaan taman permainan kanak-kanak yang turut menarik perhatian saya kerana saya mempunyai anak.

“Ia tidak terurus, berbahaya dan ada satu saja permainan untuk kanak-kanak bermain di situ. Minggu lalu saya sudah memberi sumbangan kepada Hospital Kulai, Kota Tinggi dan HSA.

“Kali ini saya dan Kelab Bola Sepak JDT pula memberikan sumbangan kepada hospital agar dapat memastikan keadaan taman permainan itu bertambah baik dan selamat digunakan kepada orang awam terutama kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya.

Sementara itu, Dr Aman berkata, pihaknya berbesar hati dengan kesudian Tunku Ismail berkenan untuk melawat kawasan wad ICU HSA yang terjejas dalam kebakaran itu.

“Tunku Ismail bersimpati ke atas apa yang berlaku dan berharap projek baik pulih wad ini dipercepatkan.

“Kita sudah pun mengemukakan permohonan baik pulih wad yang terjejas ini kepada kementerian sejurus selepas kejadian dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas lawatan berkenaan.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 10:04pm
d