mutakhir

'Sabah wajar diberi perhatian'

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KERAJAAN Sabah berharap Belanjawan 2019 yang dibentangkan esok, memberikan faedah dan manfaat untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bajet itu juga diharapkan merangkumi semua aspek termasuklah pendidikan, keselamatan dan infrastruktur di Sabah.

"Kita berharap projek yang sudah disenaraikan bagi memacu lebih banyak kemajuan negeri akan diluluskan oleh kerajaan Pusat.

"Sabah wajar diberi keutamaan atau perhatian kerana negeri ini turut memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Pameran Khas Dirgahayu Tuan Yang Terutama dan Muzik Retro Sabah Era 60-an dan 70-an, di Kota Kinabalu, hari ini.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin merasmikan majlis berkenaan yang turut dihadiri isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong.

Pameran yang bermula hari ini hingga Februari tahun depan di Kompleks Muzium Sabah itu, diadakan sempena ulang tahun kelahiran rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-65.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata adalah penting untuk meningkatkan rondaan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi mengelak berlakunya kejadian penculikan dikawasan berkenaan.

"Kita perlu pastikan semua orang sama ada penduduk tempatan atau pelancong sentiasa dalam keadaan selamat," katanya.

Mohd Shafie mengulas kenyataan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, yang menyatakan bakal mengerakkan semua aset di pos kawalan hadapan bagi meningkatkan kawalan keselamatan ESSZONE.

Hazani baru-baru ini menerusi kenyataannya mengingatkan masyarakat di ESSZONE supaya memaklumkan sebarang maklumat sekiranya menyedari ada gerakan yang meragukan di kawasan perairan itu.

Peringatan itu merujuk kepada laporan portal Marine Link semalam yang menyatakan Pusat Perkongsian Maklumat (ISC) Pusat Perjanjian Kerjasama Wilayah Memerangi lanun dan Rompakan Ke Atas Kapal Asia (ReCAAP) menerima maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina berkaitan aktiviti penculikan.

Lagi berita berkaitan Belanjawan 2019

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 10:34pm
d