mutakhir

Inisiatif Ekonomi Rakyat nilai tambah Belanjawan 2019

Oleh Fahmy Azril Rosli

BARISAN Nasional (BN) mengemukakan beberapa cadangan yang dipanggil ‘Inisiatif Ekonomi Rakyat’ untuk ‘diguna pakai’ kerajaan sebagai intipati dalam pembentangan Bajet 2019, esok.

Menteri Kewangan bayangan BN Khairy Jamaluddin berkata, antara inisiatif berkenaan adalah mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) padar kadar tiga peratus berbanding enam peratus sebelum ini.

Katanya, ia antara sembilan cukai baharu yang dicadangkan oleh pembangkang dalam usaha menambahkan pendapatan kerajaan.

“BN mencadangkan pengenalan semula GST pada kadar tiga peratus.

“GST cukai yang lebih telus dan cekap akan diperkenalkan semula dengan kadar lebih rendah dan jumlah barang dikecualikan lebih banyak.

“Jumlah hasil dijangka adalah sama dengan jumlah kutipan di bawah SST,” katanya ketika membentangkan bajet alternatif BN yang dikenali ‘Insiatif Ekonomi Rakyat’.

Inisiatif itu mengetengahkan tema ‘Merancakkan Pembangunan, Meningkatkan Pengagihan, Kalis Masa Depan’.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, pembentangan inisiatif itu bukan untuk menunjukkan dokumen berkenaan lebih baik dari belanjawan rasmi tetapi dengan harapan ada idea dapat diguna pakai kerajaan.

Dalam pembentangan itu, Khairy juga mencadangkan kerajaan memperkenalkan Cukai Soda, pada kadar RM0.25 bagi setiap liter dan Cukai Karbon dengan caj RM10 bagi setiap tan metrik kepada kilang industri yang mengeluarkan gas rumah hijau sekurang-kurangnya 25,000 tan metrik.

Bagi mempelbagai sekali gus meningkatkan pendapatan kerajaan, beliau mencadangkan pengenalan Cukai Beg Plastik dengan caj RM0.15 yang akan memberikan pulangan sebanyak RM12.46 bilion setahun kepada kerajaan.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, Cukai Kekayaan disyor untuk diperkenalkan terhadap individu yang mempunyai harta terkumpul tahunan melebihi RM10 juta sama ada melalui gaji, elaun, hartanah atau hasil pelaburan.

“BN juga mencadangkan supaya diperkenalkan Cukai Tobin yang dikenakan ke atas transaksi saham jangka masa pendek.

“Ia bagi mengawal spekulasi yang boleh memberi risiko ketidaktentuan pasaran saham.

“Penstrukturan Semula Cukai Pendapatan Individu ke atas banjaran sedia ada cukai pendapatan individu dengan pengenalan kategori pendapatan RM350,000 ke atas dan RM500,000 ke atas,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 10:35pm
d