mutakhir

Cukai minuman bergula akan diperhalusi [METROTV]

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Hashini Kavishtri Kannan

MESYUARAT Kabinet akan datang bakal membincangkan pelaksanaan cukai eksais bagi minuman bergula dalam usaha kerajaan mewujudkan budaya hidup sihat dan mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata cadangan untuk dasar berkenaan sudah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Ke Arah Persekitaran Hidup Yang Sihat (JKPHS) yang dipengerusikannya, hari ini.

“Cukai ini belum diperincikan, kita nak bawa ke Kabinet dan Menteri Kewangan akan memperhalusinya.

“Hasil cukai mungkin dimasukkan ke dalam dana Kumpulan Wang Disatukan .

“Malah, kita melihat contoh kejayaan beberapa negara yang melaksanakan cukai seumpama ini seperti Brunei, Thailand, Filipina dan Mexico,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai cadangan sekatan mandatori terhadap waktu operasi kedai makanan dan restoran kepada 12 tengah malam, Dr Wan Azizah berkata, dasar itu memerlukan libat urus dengan pemegang taruh dan dijalankan secara berfasa.

Beliau berkata, cadangan lain yang memerlukan penelitian lanjut termasuk penguatkuasaan larangan mengiklan makanan dan minuman tidak sihat kepada kanak-kanak serta cadangan dasar memasukkan kriteria tahap risiko NCD dalam urusan pengambilan anggota baru, kenaikan pangkat dan penilaian prestasi penjawat awam.

Menurutnya, mengenai dasar dipersetujui, selain daripada cukai eksais minuman bergula, 11 dasar lain turut disokong dalam mesyuarat hari ini.

“Antara dasar itu termasuk meningkatkan ekosistem sekolah untuk menaikkan status pemakanan murid dan pelajar, mewartakan kawasan rekreasi belum diwartakan sebagai kawasan pemuliharaan dan menjalankan perkhidmatan rawatan berhenti merokok di pusat kesihatan, institusi kesihatan awam dan swasta melalui program mQuit,

“Selain itu mewajibkan program pengurusan berat badan di kementerian atau jabatan terpilih, mewajibkan penyediaan pilihan makanan sihat di kafeteria, tempat kerja dan universiti.

“Mewujudkan Peraturan Perancangan Kejiranan Hijau bagi memasukkan polisi mandatori untuk menyediakan laluan berbasikal di setiap kawasan perumahan baru dibuka,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2018 @ 11:15pm
d